Tuesday, July 28, 2009

ALLAHYARHAMAH YASMIN AHMAD

*Kali kedua bertemu arwah Yasmin Ahmad di Anugerah Skrin 2008 ketika beliau memenangi kategori Pengarah Filem Terbaik di PWTC, hujung tahun 2008.

Tanggal 25 Julai 2009, Yasmin Ahmad telah kembali ke rahmatullah setelah koma selama 3 hari. Pemergian arwah telah mengejutkan rakyat Malaysia terutama mereka yang meminati hasil karya arwah Yasmin menerusi filem dan iklan komersil televisyen.

Sekadar sorotan kejadian, Yasmin Ahmad pada mulanya terlibat dalam perbincangan dengan pihak Media Prima di Sri Pentas TV3. Turut sama dalam sesi perbincangan dan pembentangan idea itu ialah suami beliau serta Datin Seri Siti Nurhaliza yang ditemani suami, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa, Datuk Seri Farid Ridzuan dan juga Puan Farisha. Menurut Datin Seri Siti Nurhaliza, Yasmin Ahmad secara tiba-tiba mengadu tidak sihat lalu menekup muka nya ke meja. Pada mulanya mereka sangkakan Yasmin tidak apa-apa kemudiannya mulai risau kerana setelah beberapa saat didapati keadaan Yasmin membimbangkan tanpa denyutan nadi lantas Doktor Residen TV3 melakukan CPR dan dibantu oleh Datin Seri Siti Nurhaliza yang juga bekas Duta Bulan Sabit Merah. Yasmin kemudiannya dibawa ke hospital untuk rawatan susulan.

Telah menjadi ketentuan Illahi, jodoh-pertemuan ajal-maut adalah urusan-Nya. Yasmin telah dipanggil untuk menghadap Allah s.w.t pada malam Sabtu yang lalu. Berita ini sesungguhnya mengejutkan ramai pihak kerana negara kita telah kehilangan seorang lagi insan seni yang begitu berbakat dalam menghasilkan karya-karya filem yang berkualiti tinggi. Hasil-hasil karya arwah Yasmin telah banyak menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa menerusi majlis-majlis penganugerahan seperti di Tokyo, Jepun.

Saya secara peribadi amat meminati Yasmin Ahmad dan filem-filem arahan beliau seperti SEPET, MUKHSIN dan TALENTIME. Filem-filem ini punyai banyak perbezaan dan keunikan jika dibandingkan dengan filem-filem tempatan yang lain. Oleh yang demikian, maka tidak hairanlah apabila ke semua filem-filem arahan beliau berjaya mengutip keuntungan yang tinggi dan disini saya ingin katakan, "sorry to say, I only watched Yasmin's film and PGL"..Bukan tidak mahu menyokong industri filem tempatan tapi pengarah dan penerbit filem tempatan ini perlulah menghasilkan sesuatu yang bermutu tinggi setanding dengan filem-filem dari luar negara, itu hakikat yang perlu diterima oleh mereka.

*Gambar pertama kami bertemu arwah Yasmin Ahmad semasa pementasan muzikal arahan beliau yang bertajuk "ALIH PUNGGONG"di KLPac tahun 2007...sangat menarik!!!!!!

Kepada Allahyarhamah Yasmin Ahmad, semoga kau aman bersemadi dan ditempatkan bersama-sama golongan mereka yang beriman,Aminnnn...

AL-FATIHAH....

No comments:

Post a Comment